Tuesday, February 18, 2025

Menyenaraikan karya Za'ba

Siang tadi saya ke Arkib Negara Malaysia, Kuala Lumpur untuk membuat carian karya Za'ba dalam beberapa majalah dan surat khabar. Semua hasil tulisan beliau sudah disenaraikan dalam satu bibliografi yang dilampirkan dalam biografi Za'ba yang ditulis oleh Abdullah Hussain dan Khalid Hussain berjudul Pendeta Za'ba Dalam Kenangan. 

Sebelum saya ditemukan dengan senarai ini, saya sudah mengusahakan senarai yang saya bangunkan sendiri berdasarkan buku karya Prof Adnan Nawang berjudul Za'ba dan Melayu, iaitu dari hasil kajian PhD beliau di Universiti Malaya. Sudah hampir siap senarai ini apabila saya berjumpa bibliografi karya Za'ba. Tak ada rasa sedih ketika itu, kerana itulah asam garam seorang penyelidik. Paling tidak, saya lebih rapat dan mesra dengan bilangan karya Za'ba, apatah lagi bila menyedari ada karyanya yang tidak tersenarai dalam bibliografi tersebut.

Melihat hasil karya Za'ba ini sudah cukup menginsafkan. 

Pertama, kerana kesungguhannya dalam karang-mengarang. Dalam Majalah Guru misalnya, karya Za'ba tersiar hampir setiap bulan dari tahun 1925 hingga 1931. Ada beberapa bulan terdapat lebih dari satu tulisan yang tersiar. Malah dalam pelbagai bidang yang berbeza.

Kedua, penguasaan Za'ba dalam pelbagai bidang berbeza. Beliau bukan sekadar meletakkan asas pada nahu bahasa Jawi malah menyusun nahu bahasa Melayu, serta menguasai bahasa Arab dan Inggeris. 

Ketiga, dengan penguasaan bahasa Arab dan Inggerisnya, Za'ba dapat membuat terjemahan terhadap tulisan par sarjana luar dan diterbitkan dalam pelbagai siaran akhbar dan majalah. Ada kalanya Za'ba menterjemah tulisannya sendiri dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu atau dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris untuk bacaan pelbagai masyarakat. Salah satu karya terjemahan Za'ba yang terkenal ialah dari novel Mark Twain, diterjemahkan sebagai Anak Papa dan Anak Raja.

Keempat, kemahiran dalam bahasa Inggeris memberi peluang Za'ba mendapat tempat dalam The Journal of Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (JMBRAS), satu jurnal terampil dan selalunya diisi oleh sarjana yang bukan calang-calang. Za'ba dapat menulis tentang bahasa Melayu kepada kelompok sarjana dan pembaca bukan Melayu dan ia satu ruang yang dapat dimanfaatkan dengan sesungguhnya oleh Za'ba.

Kelima,  melihat tulisan tangan Za'ba yang halus, kemas namun jelas dibaca cukup menginsafkan kerana beliau mengutamakan penggunaan ruang yang maksimum supaya penyampaiannya difahami dengan baik. Tulisan halusnya membolehkan Za'ba menulis panjang lebar. Sikap berjimat ini boleh dibaca dalam Pendeta Za'ba Dalam Kenangan.

Keenam, Za'ba menyunting karyanya yang tersiar dan dicatatkan dengan tulisan tangah pada karya-karya tersebut. Dalam satu tulisan dalam Majalah Guru, Za'ba menambah, memotong dan membetulkan tulisannya dengan tangan. Tulisannya yang halus dapat menempati ruang sempit antara baris dan tambahan-tambahan penting yang dinukilkan pada jidar kertas. Tulisan asal itu disiarkan pada tahun 1925 dan Za'ba membaikinya pada tahun 1951 seperti yang ditulisnya, Tempoh hampir 30 tahun ini ternyata mematangkan tulisan dan pemikiran Za'ba yang tidak segan silu membaiki tulisannya yang lama dahulu.

Saya akan sambung lagi pada tulisan-tulisan berikutnya. 


Monday, February 17, 2025

Pentas Bicara

Sepanjang tahun 2024, saya berpeluang berkongsi pandangan dan dapatan di pentas forum dan bual bicara, sama ada secara langsung atau dalam talian. Saya kongsikan di sini sebagai rakaman kehidupan.


1) Bicara Buku di reruai Akademi Jawi sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 27 Mei 2024, pukul 4 petang






2) Wacana bersama RZS-CASIS pada 17 Julai 2024 (Rabu) secara dalam talian.

Untuk mendengar, sila tekan ini.




3) Wacana bersama Khazanah Library dan Lingkaran dalam Diskusi Karya Ilmiah 03 secara dalam talian pada 3 Disember 2024. Diskusi ini dijalankan secara tertutup dan peserta perlu mendaftar terlebih dahulu. Kelompoknya terdiri dri teman-teman di Indonesia dan mereka sangat memberi perhatian dan bertanyakan banyak soalan yang baik.


4) Bicara Buku sempena Pesta Buku Nogori di USIM pada 21 November 2024. Membicarakan buku Kertas-Kertas yang Merubah Fikir sepentas bersama Puan Nor Azah Momin, Ketua Perpustakaan USIM. 






Saturday, February 15, 2025

Sastera sebagai aset budaya dan ekonomi

Pada 8 Februari 2025 (Sabtu), saya diundang membentang kertas kerja di Wacana Setengah Abad PEN bersempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) Kali ke-48/2025 di Klana Resort, Seremban. Kertas kerja ini berjudul “Sastera Sebagai Aset Budaya dan Ekonomi: Satu Tinjauan Sejarah”.

Sebagai aset budaya dan aset ekonomi, sastera boleh menjana banyak ruang, bukan sekadar menerbitkan buku dan menjalankan pengkajian. Satu perkara penting yang saya sampaikan ialah perlunya membangunkan “cultural tourism” atau pelancongan budaya yang menjadi tempat lawatan pelancong dalam dan luar negara.

Kebiasaannya, pelancong luar berminat melihat keunikan budaya yang ada dalam masyarakat kita. Dan ini kita boleh paparkan dengan pelbagai cara, salah satunya melalui sastera. Itulah juga yang kita cari bila ke luar negara. Misalnya apabila ke London, kita akan ke Muzium Sherlock Holmes atau singgah ke rumah kelahiran Hemingway dan Shakespeare. Kalau ke Sumatera, selain melihat keindahan Danau Maninjau dan Kelok 44, pastinya kita akan dibawa ziarah ke Rumah Kelahiran Buya Hamka atau pesantren Muhammadiyah yang diasaskan ayah Hamka, Syeikh Amrullah. Di Padang juga ada Rumah Puisi Taufiq Ismail yang asalnya adalah kediaman pujangga Taufiq Ismail yang kini menghimpunkan ribuan buku dan koleksi beliau dan turut menjadi ruang pengkajian. Rumah peninggalan Prof Ali Hasjmy di Banda Aceh pula diwakafkan menjadi perpustakaan dan museum, menyimpan ribuan koleksi buku milik Prof Ali Hasjmy serta manuskrip yang ada dalam simpanan sewaktu hidupnya.
 
Jika kita ada rumah negarawan yang dijadikan memorial seperti Memorial Tun Razak dan Memorial Tun Hssein Onn dan rumah kelahiran P Ramlee dijadikan muzium dan menerima kunjungan peminat, pastinya boleh juga dibangunkan rumah-rumah kelahiran atau kediaman para penulis atau sasterawan kita. SN Usman Awang terkenal dengan Kuala Sedili di Kota Tinggi; SN Shahnon Ahmad pula dengan Kampung Banggol Derdap dan SN A Samad Said sentiasa menyebut tempat kelahirannya, Kampung Belimbing Dalam. Jika dapat dibuat sesuatu, misalnya, dibangunkan pustaka atau muzium di tempat kelahiran mereka, pasti menjadi tumpuan dan dapat memajukan ekonomi setempat.

Sewaku ke Jepun pada November yang lalu, saya sempat singgah ke Kyoto International Manga Museum di Kyoto. Di Jepun, manga bukan sekadar komik untuk kanak-kanak, tetapi juga untuk orang dewasa, remaja, perempuan, keluarga, dengan pelbagai tema menarik.
 
Saya amat tertarik dengan kepelbagaian produk yang terhasil dari manga, maksudnya bukan sekadar penghasilkan komik. Manga dikembangkan dengan diadaptasi sebagai persembahan kabuki, anime, game, muzik, novel, siaran filem dan tv, cosplay (costume play), persembahan muzikal dan opera. Semua ini adalah aset budaya buat Jepun, dan menjadi penyumbang kepada ekonomi negara.
Semoga cita-cita kecil ini akan menjadi nyata suatu hari nanti.

Tahniah kepada Penulis Negeri Sembilan Pen dan seluruh jawatankuasa yang menganjurkan acara hebat ini.







Friday, February 14, 2025

Rengkahan

Mungkin ramai tertanya-tanya apakah maksud rengkahan dan bagaimana boleh tercetusnya ilham menggunakan (atau mempopularkan) perkataan ini.

Perkataan ini saya temukan dalam tulisan Shaykh Ahmad al-Fatani dalam bukunya, Hadiqat al Azhar. Shaykh Ahmad menulis, "...meringkah mereka itu...". Ayat ini membawa maksud ...

Ketika sedang menyiapkan buku saya yang diangkat dari tesis di RZS-CASIS, UTM KL, saya mencari-cari perkataan yang "catchy" dan "selleable" untuk dijadikan tajuk buku. Tesis saya berjudul "Perusahaan Kitab Jawi Abad ke-19 Menerusi Tokoh_tokoh Terpilih" dan ternyatlah tajuk ini sesuai untuk tesis tetapi tidak sesuai untuk menjadi tajuk buku. Malah Prof Tatiana selaku penyelia saya pun menyarankan agar mencari judul baru.

Ketika dalam proses akhir menyapkan buku itulah, saya teringatkan ayat Shaykh Ahmad itu dan saya tertarik menjadikannya sebagai sebahagian dari judul. Lalu saya pun membuka beberapa kamus untuk mendapatkan maksud yang tepat.

 Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan "rengkahan"?

Secara ringkas, Rengkahan bermaksud pembaharuan, inovasi. Namun maksud sebenar perkataan ini boleh ditemukan dalam kamus-kamus lama. 

Kalau buka Kamus Dewan, rengkah diberi maksud yang berikut:

[reng.kah] | رڠکه

Definisi : rekah, belah, retak: dinding rumah­nya telah ~; rerak ~ rosak dan pecah-pecah; merengkah menjadi retak, merekah, (ber)­belah: tanah sawah ~ kerana kemarau kuat; rengkahan belahan, rekahan, tetakan: ada kelipan api yg spt mahu menyelinap keluar dr ~ dinding-dinding buluh. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Nampak asing sekali jika dibaca dengan ayat Shaykh Ahmad di atas.

Maksud yang saya kira tepat terdapat dalam Buku Katan Kamus Melayu yang disusun oleh Haji Muhammad Said Sulaiman. Saya letakkan maksud ini pada halaman judul (full title) untuk rujukan pembaca seperti berikut:

Perkatan ‘rengkah’atau ‘ringkah’ (ريڠكه) bermaksud reka, membuat sesuatu benda baharu. Rengkahan Jawi dalam tajuk buku ini meruju‘ kepada daya usaha baharu menghasilkan kitab Jawi dalam bentuk bercetak berawalan daripada manuskrip (bertulis tangan). Boleh diruju‘ dalam Haji Muhammad Said Haji Sulaiman, Buku Katan Kamus Melayu (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997), hlm. 442. 


Maka dari maksud ini, saya kira tepatlah jika diangkat menjadi judul buku, memandangkan usaha percetakan kitab Jawi adalah satu usaha baharu. Setelah berbincang dan menimbang-nimbang, maka judul akhir tesis saya yang diterbitkan ialah "Rengkahan Jawi: Perusahaan Kitab Jawi Abad ke-19". Buku ini mula dijual pada Mei 2024, sempena PBAKL ke-39.

Judul ini ternyata memikat dan cepat ditangkap oleh memori pembaca. Atas sebab itu juga, saya gunakan rengkahan sebagai nama blog ini.






Thursday, February 13, 2025

Rengkahan - Satu Permulaan

Sebuah tapak yang sudah lama saya bina, dipugar semula untuk menyemai benih baharu. 

Daripada sebuah blog yang membicarakan perihal ekonomi (yang pernah menjadi minat saya suatu masa dahulu), saya ubah dan perbaharui dengn memberi nafas yang lebih segar. 

Bicaranya juga berubah dan sudah terasing dari tema ekonomi. Saya akan menumpukan penulisan kepada buku, industri buku, percetakan, pengusaha buku, syarikat buku dan seribu satu perkara berkaitan dengan buku. 

 Blog ini akan menjadi ruang saya berkongsi pandangan tentang tema-tema di atas dan membuat kajian lapangan dan kepustakaan untuk dijadikan tulisan yang bermanfaat. Niat di hati, segala tulisan ini akan menjadi pemula kepada kajian PhD. Begitulah cita-cita besar yang terpendam. Namun tidak tahu bila akan menjadi nyata. 

 Meskipun sudah jauh meninggalkan bidang ekonomi, serba sedikit nanti akan terakam juga angka-angka untuk mewakili bahan-bahan yang dikaji dalam tulisan dan kajian yang dipaparkan nanti. 

Semoga semua tulisan menjadi panduan yang berguna buat semua. 

*** 
Bandar Puteri Bangi 
13 Februari 2025

Tuesday, May 4, 2010

Mencari makna sebenar ekonomi - 1

Pendahuluan
Setiap hari kita mendengar orang membicarakan tentang ekonomi. Saban waktu dipaparkan di suratkhabar mahupun kaca tv tentang kedudukan kewangan mahupun krisis ekonomi yang memberi kesan bukan sahaja satu negara malah negara yang terlibat dalam urusan dagangan dengannya.
Kita pernah dikatakan menhadapi krisis ekonomi, nilai Ringgit Malayisa yang menyusut, pasaran saham yang jatuh, inflasi diramal menjadi satu masalah, kadar pengangguran yang menjadi-jadi tinggi kadarnya apabila lebih banyak syarikat memecat atau membuang pekerja.
Jika kita pergi ke membeli belah, pembeli tidak lagi membeli sesuka hati seperti sebelum ini, sebaliknya memilih untuk membeli barangan keperluan berbanding kehendak. Tidak ramai yang makan di hotel mewah atau melancong ke luar negara. Syarikat juga sukar mendapatkan keuntungan tidak seperti tahun sebelumnya. Ramai yang menghadapi masalah dalam menyelesaikan pinjaman bayar balik kepada institusi kewangan yang meminjamkan wang kepada mereka. Institusi kewangan pula menghadapai kesukaran memberi pinjaman akibat peningkatan non performing loan (pinjaman tidak berbayar). Mereka merasa sukar untuk memberi pinjam kerana takut akan kerugian.
Kerajaan kemudian menggalakkan rakyat supaya mengurangkan perbelanjaan terhadap barang import, meminta bank menyediakan kredit kepada para peniaga, mengurangkan kadar faedah bagi menggalakkan pelaburan dan menggumumkan bajet defisit bagi tahun 1999 bagi memulihkan ekonomi.
Bagi sesiapa yang masih ingat, lebih kurang 15 bulan sebelum krisis ekonomi melanda Asia pada 1997-1998, a memberi warna yang cukup berbeza. Prestasi ekonomi kebanyakan negara di wilayah terbabit begitu hebat sehingga digelar sebagai Asian Miracle (Keajaiban Asia).
Jadi, apakah sebenarnya yang mengundang kejayaan atas keajaiban ini dan apakah sebenarnya punca kepada masalah atau krisi ekonomi kemudiannya? Mengapa negara yang mengecap keajaiban dalam pertumbuhan ekonomi selama sepuluh tahun berturut-turut boleh merudum dengan sebegitu teruk? Apakah polisi yang perlu diambil bagi menghadapi cabaran ini untuk membolehkan negara terbabit keluar dari krisis dan berdiri kukuh tanpa sebarang kesan terhadap krisis? 

** Cadangan asal, tulisan ini ada sambungannya. Namun selepas 14 tahun terbiar, sudah hilang semua idea apa yang nak ditulis...

Monday, May 3, 2010

Istilah / konsep perniagaan dalam Islam

Berikut adalah istilah yang diguna pakai dalam menjalankan perniagaan atau urusan transaksi kewangan atau apa sahaja yang melibatkan ekonomi. Istilah ini akan ditambah dari semasa ke semasa dan akan diterangkan seberapa ringkas dalam entri akan datang. 
  1. al-Mudharabah / Muqaradah
  2. al-Qard
  3. al-Bai Bithaman Ajil
  4. al-Ijarah
  5. al-Ijarah Thumma al-Bai’
  6. al-Murabahah
  7. al-Musyarakah
  8. al-Wakalah
  9. al-Musawamah
  10. al-Muzayadah
  11. al-Tauliyah
  12. al-Wadia
  13. al-Istisna’
  14. al-Rahnu
  15. al-Kafalah
  16. al-Wadi’ah
  17. Bai’ al-Inah
  18. Ba’ al-Salam
  19. Bai’ al Dayn
  20. Bai al-Muzayadah
  21. Dhaman / Kafalah
  22. Hak Tamalluk
  23. Hibah
  24. Sadaqah
  25. Waqf
  26. Hiwalah
  27. Wakalah
  28. Ibra’
  29. Muqasah
  30. Ithfaq Dhimani
  31. Sanadat
  32. Sukuk
  33. Ujrah / Ajr
  34. Sharikah al-Inan
  35. Sharikah al-Mufawadah
  36. Sharikah al-Wujuh
  37. Sharikah al-a’mal ‘al-abdan 
Semoga penerangan tentang istilah ini dapat diguna pakai bagi memahamkan kita tentang ekonomi Islam secara keseluruhan terutama sekali bagi mengelakkan ditipu atau terperangkap dengan konsep yang boleh mengelirukan kita selaku pengguna

Menyenaraikan karya Za'ba

Siang tadi saya ke Arkib Negara Malaysia, Kuala Lumpur untuk membuat carian karya Za'ba dalam beberapa majalah dan surat khabar. Semua h...