Saturday, February 15, 2025

Sastera sebagai aset budaya dan ekonomi

Pada 8 Februari 2025 (Sabtu), saya diundang membentang kertas kerja di Wacana Setengah Abad PEN bersempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) Kali ke-48/2025 di Klana Resort, Seremban. Kertas kerja ini berjudul “Sastera Sebagai Aset Budaya dan Ekonomi: Satu Tinjauan Sejarah”.

Sebagai aset budaya dan aset ekonomi, sastera boleh menjana banyak ruang, bukan sekadar menerbitkan buku dan menjalankan pengkajian. Satu perkara penting yang saya sampaikan ialah perlunya membangunkan “cultural tourism” atau pelancongan budaya yang menjadi tempat lawatan pelancong dalam dan luar negara.

Kebiasaannya, pelancong luar berminat melihat keunikan budaya yang ada dalam masyarakat kita. Dan ini kita boleh paparkan dengan pelbagai cara, salah satunya melalui sastera. Itulah juga yang kita cari bila ke luar negara. Misalnya apabila ke London, kita akan ke Muzium Sherlock Holmes atau singgah ke rumah kelahiran Hemingway dan Shakespeare. Kalau ke Sumatera, selain melihat keindahan Danau Maninjau dan Kelok 44, pastinya kita akan dibawa ziarah ke Rumah Kelahiran Buya Hamka atau pesantren Muhammadiyah yang diasaskan ayah Hamka, Syeikh Amrullah. Di Padang juga ada Rumah Puisi Taufiq Ismail yang asalnya adalah kediaman pujangga Taufiq Ismail yang kini menghimpunkan ribuan buku dan koleksi beliau dan turut menjadi ruang pengkajian. Rumah peninggalan Prof Ali Hasjmy di Banda Aceh pula diwakafkan menjadi perpustakaan dan museum, menyimpan ribuan koleksi buku milik Prof Ali Hasjmy serta manuskrip yang ada dalam simpanan sewaktu hidupnya.
 
Jika kita ada rumah negarawan yang dijadikan memorial seperti Memorial Tun Razak dan Memorial Tun Hssein Onn dan rumah kelahiran P Ramlee dijadikan muzium dan menerima kunjungan peminat, pastinya boleh juga dibangunkan rumah-rumah kelahiran atau kediaman para penulis atau sasterawan kita. SN Usman Awang terkenal dengan Kuala Sedili di Kota Tinggi; SN Shahnon Ahmad pula dengan Kampung Banggol Derdap dan SN A Samad Said sentiasa menyebut tempat kelahirannya, Kampung Belimbing Dalam. Jika dapat dibuat sesuatu, misalnya, dibangunkan pustaka atau muzium di tempat kelahiran mereka, pasti menjadi tumpuan dan dapat memajukan ekonomi setempat.

Sewaku ke Jepun pada November yang lalu, saya sempat singgah ke Kyoto International Manga Museum di Kyoto. Di Jepun, manga bukan sekadar komik untuk kanak-kanak, tetapi juga untuk orang dewasa, remaja, perempuan, keluarga, dengan pelbagai tema menarik.
 
Saya amat tertarik dengan kepelbagaian produk yang terhasil dari manga, maksudnya bukan sekadar penghasilkan komik. Manga dikembangkan dengan diadaptasi sebagai persembahan kabuki, anime, game, muzik, novel, siaran filem dan tv, cosplay (costume play), persembahan muzikal dan opera. Semua ini adalah aset budaya buat Jepun, dan menjadi penyumbang kepada ekonomi negara.
Semoga cita-cita kecil ini akan menjadi nyata suatu hari nanti.

Tahniah kepada Penulis Negeri Sembilan Pen dan seluruh jawatankuasa yang menganjurkan acara hebat ini.







No comments:

Post a Comment

Menyenaraikan karya Za'ba

Siang tadi saya ke Arkib Negara Malaysia, Kuala Lumpur untuk membuat carian karya Za'ba dalam beberapa majalah dan surat khabar. Semua h...